Permintaan Umno supaya "Yang di-Pertuan Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera" (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan.
Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?).
Nasib orang Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.
Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan negara jiran.
Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara.
Apa kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno.
Ini semua bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.
Apabila Umno membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun.
Apabila naluri manusia terasa terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan.
Ini segala-galanya berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah selesai.
Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima Quraisy segagai bangsa "superior".
Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak memilih berbuat begitu?
Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa dengan sepotong sabda bermaksud, "tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa �Ajam kecuali dengan taqwa."
Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu punca silapnya orang Melayu.
Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.
Berselindung di sebalik istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.
Lihat sahaja isu di sekitar penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT.
Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.
Bila terdesak rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi.
Sekarang, benih yang salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit bila dimakan.
Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu adalah testimoni.
Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka. Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga sampai ke hari kiamat.
Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, tentu keadaan tidak menjadi begini.
Dengan menolak Islam dan mengambil faham kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang mahukan Islam.
Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar lingkungan keizinan demokrasi.
Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri.
Saya masih ingat lagi bagaimana ramai ulama�, ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa.
Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 1960an.
Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi hilang ingatan.
Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi.
Ada penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji dan disekat kenaikan pangkat.
Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan.
Di Kedah pula, 14 orang ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para wali.
Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara tahun 1999 � 2004, misalnya, tidak berunsur politik?
Kini, Umno memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh Umno/BN.
Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau.
Pendek kata, terlalu panjang senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan meninggalkan Islam.
Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan.
Ada kes pembunuh Altantuya yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!
Belum reda dengan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia.
Entah. Saya tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya kira sudah berkesimpulan begitu.
Ini boleh dikesan melalui pelbagai tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan, media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.
Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif.
TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
No comments:
Post a Comment