Tarikh : 25 Mac 2008
Daripada : Muhammad Zahid Bin Md Arip
No KP : 660622-04-5355
No Ahli UMNO : 03468736
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala Puji Tertumpu Kepada Allah SWT, Selawat Dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW.
Ya Murakbalin (YMb) Abdullah Badawi,
Sukacita saya memaklumkan kepada YMb bahawa surat ini saya tulis secara terbuka kerana segala apa yang akan saya sampaikan di sini bukan lagi suatu rahsia, malah ianya sudah menjadi bualan umum di kalangan rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli UMNO di mana sahaja mereka berada.
Sebagai orang UMNO dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya memilih untuk berterus terang di dalam surat ini. Bukankah selama ini YMb pernah menjerit mencabar rakyat dengan menyatakan “beritahu saya perkara sebenar – tell me the truth”. Agaknya selama ini YMb sentiasa di beritahu perkara-perkara palsu sekadar penyedap telinga sahaja. Walaupun saya sedar pada hakikatnya – you cannot accept the truth – tetapi demi menyahut cabaran YMb dan dengan izin Allah, saya akan beritahu YMb perkara yang sebenarnya.
Saya sedar, yakin dan percaya, selepas surat ini bertaburan di muka bumi ini, akan ada panglima-panglima tempang dari kalangan anjing kurap yang mahu menjadi pengampu setia YMb yang akan tampil untuk menyerang saya.
Sesungguhnya, saya dan seluroh rakyat Malaysia turut ingin melihat siapakah pengampu pertama yang akan muncul untuk menyerang saya secara terbuka.
Sudah menjadi tradisi, anjing-anjing kurap ini akan muncul mempertahankan YMb dari segala bentuk kritikan dan teguran. Lihat sahajalah apabila Tun Dr Mahathir mengkritik dan menyarankan agar YMb bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan atas keruntuhan Barisan Nasional di enam negeri, sekali gus menyaksikan Barisan Nasional gagal memperolehi majoriti 2/3 di Dewan Rakyat, maka anjing-anjing kurap inilah yang satu ketika dahulu pernah makan di atas tapak tangan Tun Dr Mahathir, hari ini membelasah Tun Dr Mahathir siang, malam, pagi dan petang.
Bila Saudara Dato’ Mukhriz Mahathir menyarankan perkara yang sama, beliau juga menjadi mangsa kecaman dan serangan anjing-anjing kurap ini. Ada yang mengatakan “Mukhriz mendengar cakap bapanya”.
Pada hemat saya, adalah lebih mulia menjadi seorang anak yang mendengar cakap bapanya dari hina dan bodoh menjadi bapa mertua yang dayus yang menjadi Pak Turut menuruti cakap menantu.
Justeru saya tidak hairan dan tidak gentar dengan salakan anjing-anjing kurap ini kerana bagi saya, anjing kurap menyalak bukit, bukit tak kan runtuh. Semakin kuat anjing kurap ini menyalak, maka semakin meluatlah rakyat kepada YMb dan semakin dekatlah kehancuran UMNO dan Barisan Nasional.
Untuk pengetahuan YMb, pendapat Tun Dr Mahathir bahawa YMb patut berambus dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, kini sudah pun menjadi pendapat umum.
Pada kesempatan ini, dengan berterus terang dan tanpa berselindung – demi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional supaya UMNO dan Barisan Nasional tidak menjadi pembangkang selepas pilihan raya umum yang akan datang, saya menyarankan, merayu dan mendesak supaya YMb berundurlah dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.
Kita kalah di Kelantan, kita tumpas di Selangor, kita kecundang di Perak, kita tewas di Kedah, kita tersungkur di Wilayah Persekutuan dan kita melingkup di Pulau Pinang.
Di banyak kawasan majoriti kita merosot dengan bilangan yang besar. Di kawasan YMb sendiri di Kepala Batas, majoriti kemenangan YMb merosot sehingga 8 ribu undi.
Tunggu apa lagi? Apakah setelah UMNO dan Barisan Nasional kehilangan beberapa negeri lagi dan kalah di Dewan Rakyat baru YMb mahu berundur?
Saya cabar YMb meletakkan jawatan jika YMb anak jantan yang masih punya kehormatan, maruah dan harga diri. Apa guna menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang menjadi bahan lawak jenaka dan di tertawakan.
Pesan orang tua-tua, biar miskin jangan bangsat. Biar tidak ada jawatan asalkan ada kehormatan, maruah dan harga diri.
Terlanjur menyebut tentang maruah dan harga diri, saya rasa Dato’ Seri Ong Ka Ting, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Dato’ Seri S Samy Vellu – mereka ini lebih bermaruah, lebih ada integriti, lebih ada harga diri dan lebih bertanggungjawab berbanding YMb. Awal-awal lagi mereka sudah memilih untuk menolak jawatan kabinet kerana mahu menumpukan usaha memperbaiki kelemahan dan kesilapan parti mereka.
Cuba YMb fikir baik-baik, bagaimana boleh YMb menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang hebat memimpin UMNO dan mentadbir Malaysia sedangkan Pulau Pinang negeri sendiri di jajah orang? Tak malu ke? Kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi.
Bukankah YMb adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang? Tidakkah YMb ada rasa untuk bertanggungjawab atas kekalahan di Pulau Pinang? Kalau sayalah pada kedudukan YMb, nescaya saya tahu malu kepada rakyat dan mengambil tanggungjawab untuk berundur dengan terhormat.
Rupa-rupanya, YMb lebih sayangkan kedudukan, pangkat dan darjat dari mencintai parti. Sudah terang lagi bersuloh, jelaslah sekarang, kata-kata yang sering YMb ucapkan bahawa kepentingan parti melebihi kepentingan diri sendiri hanyalah sekadar retorik murah dan omong kosong belaka.
Apa yang menyebabkan YMb begitu sayang untuk melepaskan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri? Kerana sayangkan rakyat atau kerana ingin terus mengkayakan anak dan menantu?
Percayalah, parti tidak akan hancur dengan pengunduran YMb, malah parti akan lebih berjaya pada masa hadapan dengan mendapat dukungan dan keyakinan baru dari rakyat.
Persoalannya sekarang, bagaimana YMb mahu membela nasib umat Melayu di negeri-negeri lain sedangkan nasib umat Melayu di Pulau Pinang pun YMb tidak mampu membelanya?
Waktu ada kuasa, ada pernah YMb ambil peduli nasib Melayu? Projek-projek besar di Pulau Pinang ada YMb serahkan kepada Melayu? Tolong jawab kepada Melayu Pulau Pinang.
Hari ini bila dah hilang kuasa di Pulau Pinang, pandai pulak kumpulkan Melayu berdemonstrasi dan mengadakan perhimpunan aman. Dahulu bila pembangkang mengadakan perhimpunan aman, YMb mengutuk tindakan mereka dengan sombong dan angkuh.
Jangan YMb baling batu sembunyi tangan dalam hal perhimpunan aman ini kerana Timbalan YMb iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang sendiri yang mengepalai perhimpunan itu. Sudah tentu perhimpunan itu di adakan atas persetujuan YMb jua.
Patutlah buat pertama kali pihak polis begitu bersabar menghadapi para peserta perhimpunan aman itu. Suatu hari nanti, takdirnya jika pihak polis terpaksa bertindak menyembur gas pemedih mata kepada Melayu yang menyertai perhimpunan aman itu, sudah tentu Menteri Dalam Negeri akan menjadi sasaran kemarahan. Sebab itu YMb menyerahkan jawatan Menteri Dalam Negeri kepada Dato’ Seri Syed Hamid supaya YMb terlepas dari menjadi sasaran api kemarahan peserta perhimpunan aman.
Sementara YMb masih berkuasa, tolong pastikan jangan ada kacau bilau yang membolehkan YMb menubuhkan MAGERAN. Cukuplah episod malang yang melanda negara pada tahun 1969 dahulu. Jika ini berlaku, percayalah sejarah akan mengutuk YMb sehingga kiamat dan jangan marah jika sejarah menuduh YMb lah perancang utama kepada kacau bilau itu.
Saya melihat sekarang ini sekali lagi media cetak dan elektronik arus perdana di peralat dan di gunakan semahu-mahunya untuk membina dan membakar perasaan kesal di hati rakyat khususnya orang Melayu kerana mengundi pembangkang. Percayalah Melayu tidak mudah terpedaya.
Media juga dengar khabar telah di arah untuk membantu membina dan membangkitkan rasa simpati dan kasihan rakyat kepada YMb.
Saya ingin memberitahu YMb, bahawa strategi ini tidak akan berkesan sama sekali. Rakyat bukannya bodoh macam YMb. Mereka boleh berfikir dan celik maklumat. Semakin menggila media cuba mempromosi YMb, maka semakin benci dan meluat rakyat kepada YMb.
Kepada media saya mohon untuk berpesan, dalam mempromosi si Murakbalin ini, biarlah berpada-pada, tolong jangan sampai membakar dan meniup api perkauman. Saya faham tugas rakan-rakan media yang terpaksa menulis menyokong YMb, tapi hakikatnya rakan-rakan media juga tahu antara punca besar kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional ialah kerana kebencian dan rasa meluat rakyat kepada YMb dan menantunya yang angkuh dan sombong bodoh.
Laporan mengenai kenyataan menyokong kepimpinan YMb oleh badan-badan NGO dari yang besar hingga yang kecil yang mendapat liputan yang besar di dada-dada akhbar, telah di sambut dengan rasa meluat oleh sebahagian besar rakyat.
Kepada rakyat saya berpesan, bagi mengelak kita semua terjebak dan terpedaya dalam isu perkauman sempit dan propaganda murahan si Murakbalin ini, yang mungkin di bawa oleh media, maka hendaklah kita memasang niat terlebih dahulu sebelum membaca akhbar. Niatnya, sahaja aku membaca, tapi belum tentu aku percaya. Dengan tulus ikhlas, saya ijazahkan niat ini kepada seluruh rakyat Malaysia. Amalkan, InsyaAllah selamat kita dari terpedaya.
Majlis Tertinggi UMNO konon katanya sokong penuh. Dewan Tertinggi Barisan Nasional juga sokong penuh. Sokongan ini menyebabkan rakyat semakin benci dan meluat kepada YMb dan pimpinan UMNO. Inilah yang di katakan sokong bawa rebah.
Apakah sokongan MT UMNO ini menggambarkan sokongan rakyat dan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi?
Apakah MT sedar atau tidak, siapakah yang telah merosakkan kertas-kertas undi dan siapakah yang telah memenuhkan tong-tong undi dengan mengundi pembangkang? Siapakah mereka kalau bukan ahli-ahli UMNO sendiri. YMb sendiri tak kan tidak tahu perkara ini? Atau YMb sengaja buat-buat tak tahu.
Mengenai syor YBM Tengku Razaleigh Hamzah supaya satu Perhimpunan Agung Khas di adakan bagi membincangkan kelemahan parti dan menyusun langkah-langkah yang perlu bagi memantapkan UMNO, saya di beritahu YMb tidak bersetuju. Kenapa YMb begitu takut untuk berdepan dengan perwakilan UMNO? YMb tidak boleh lari dari kebenaran.
Sepatutnya usaha memanggil Perhimpunan Agung Khas ini datangnya dari YMb bukannya dari Tengku Razaleigh. Ku Li terpaksa mengambil langkah ini kerana YMb terlalu lembab bertindak. Dengar kata anak dan menantu YMb yang beriya-iya benar tidak bersetuju di adakan Perhimpunan Agung Khas ini. Betul ke?
Secara terus terang saya katakan bahawa rakyat bukan marah kepada YMb, tetapi rakyat sudah BENCI. Kalau rakyat marah, kita boleh sabarkan rakyat, kita boleh pujuk rakyat, tetapi kalau rakyat sudah benci, kebencian ini akan menular dan menjalar ke akar umbi. Pada akhirnya UMNO dan Barisan Nasional akan tersungkur menyembah bumi pada pilihan raya yang akan datang.
Rakyat juga sangat benci kepada kerakusan, kebongkakkan, kesombongan dan keangkuhan menantu YMb. Gandingan antara bapak mertua dan menantu dalam hal pentadbiran parti dan kerajaan, jelas menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat. Rakyat percaya YMb bukannya cerdik sangat, rakyat percaya menantu YMb merupakan orang yang menjadi PM de facto yang menguasai parti dan kerajaan.
Walaupun penjelasan demi penjelasan di buat oleh YMb bahawa menantu YMb tidak terlibat dalam mencampuri urusan pentadbiran, hakikatnya rakyat tetap tidak percaya. Sangat hina menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri apabila cakapnya tidak di percayai dan di anggap bohong serta di persendakan.
Rakyat bukan bodoh, rakyat melihat bagaimana menantu diberi pinjaman RM 9 juta oleh Patrick Badawi untuk membeli saham-saham ECM Libra yang kemudiannya ECM Libra mengambil alih anak syarikat kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan Avenue Capital Resources.
Bila hal ini terdedah, YMb telah membuat kenyataan yang di anggap bodoh dan cuba memperbodohkan rakyat dengan menyatakan bahawa YMb tidak tahu menahu tentang urus niaga itu. Bukankah YMb adalah Menteri Kewangan? Apakah YMb tidur semasa urus niaga itu berlaku?
Rakyat melihat urus niaga ini sebagai rompakan di siang hari. Rakyat juga jijik melihat bagaimana Patrick Badawai di anugerahkan projek-projek besar bernilai lebih RM 20 Billion di Pulau Pinang dan Terengganu. Rakyat juga melihat dengan hati yang terguris apabila syarikat Scomi yang di ketahui umum di miliki sebahagian besar sahamnya oleh anak lelaki YMb turut terlibat dalam projek-projek besar.
Inikah contoh dan tanda serta cara-cara membela nasib rakyat?
Rakyat juga jijik melihat kebodohan Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan pemimpin-pemimpin UMNO yang berlumba-lumba mengampu dan menyambut menantu YMb, seolah-olah takut dengan kehebatan pengaruh menantu YMb. Pemimpin UMNO percaya, menantu boleh mengatur perjalanan parti.
Sebahagian besar ahli-ahli UMNO percaya, menantu YMb sedang bergerak cergas menyusun dan mengatur langkah untuk menggantikan YMb sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia sekali gus menyingkirkan Dato’ Sri Najib dengan apa cara sekalipun.
Dengar khabar, perancangan sedang di atur oleh menantu YMb dengan menggunakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk terus menyerang Dato’ Sri Najib dengan mengaitkan beliau dengan skandal dan rasuah.
Saya juga mendengar khabar satu gerakan sedang di buat kononnya oleh budak-budak “tingkat 4” untuk membina persepsi di kalangan ahli-ahli UMNO bahawa Dato’ Sri Najib memang tidak layak menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri menggantikan YMb.
Saya juga mendengar satu tekanan dan ugutan akan di buat menggunakan pelbagai saluran perundangan termasuk laporan polis dan BPR bagi menekan Dato’ Sri Najib meletakkan jawatan.
Gerakan itu juga konon katanya sedang memburuk-burukkan Datin Sri Rosmah dan sedang cuba melaga-lagakan Dato’ Sri Najib dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Konon katanya, YMb memang mahukan Tan Sri Muhyiddin menjadi Timbalan Predana Menteri sejak dulu lagi. Saya ingin bertanya, apakah semua ini betul? Saya juga ingin bertanya apakah memang ada perancangan seumpama ini oleh menantu YMb dan di restui oleh YMb sendiri? Sama ada YMb terima atau tidak, inilah antara lain yang sedang di bicarakan di kalangan ahli UMNO dan rakyat di bawah.
Saya ingin bertanya, betulkah ada perjanjian antara YMb dengan Tun Dr Mahathir bahawa YMb hanya akan menjawat jawatan Perdana Menteri untuk satu penggal sahaja? Hanya Allah SWT, Qaraman Qatibin, YMb dan Tun Dr Mahathir sahaja yang tahu. Kalau YMb sudah berjanji, munafik kalau mengingkarinya.
Apa sudah jadi dengan Islam Hadhari? Ternyata imam masjid di kampung-kampung belum faham lagi walaupun ia telah di perkenalkan 3 tahun yang lalu.
Rakyat meluat melihat gambar YMb merangkul erat pinggang seorang artis berbangsa Cina yang tersebar semasa pilihan raya yang lepas. Saya sungguh tidak menyangka YMb sebagai pemimpin Islam Hadhari termasuk dalam gulungan jantan miang yang pandai mengambil kesempatan. Kesian saya melihat jentera Barisan Nasional terkial-kial mencari idea untuk menepis dan menjawab mengenai gambar tersebut. Akhirnya mereka sesama mereka duduk dan memaki hamun YMb. Padan dengan muka YMb, tak fasal-fasal kena maki.
Kenyataan menantu YMb bahawa dia tidak akan menyertai kabinet selagi YMb masih menjadi Perdana Menteri di sambut dengan rasa syukur kehadrat Allah SWT. Hakikatnya – hanya Perdana Menteri yang bodoh sahaja yang akan melantik dia dalam Jemaah Menteri. Apa hebatnya dia ni? Dia ni laksana melukut di tepi gantang - masuk tak tambah, keluar tak kurang, tak ada lagi baik.
Sebagai Presiden UMNO ternyata YMb tidak tahu menghargai dan menghormati struktur dan sayap parti. Kenapa Wanita UMNO tidak di lantik dalam Jemaah Menteri? Bukankah Wanita UMNO adalah tulang belakang kekuatan UMNO selama ini? Kalau YMb tidak mahu melantik Dato’ Seri Rafidah dan tidak boleh melantik Dato’ Seri Shahrizat kerana beliau kalah, apa pula dosa dan salahnya Dato’ Halimah Siddiq? Adakah kerana budak-budak “tingkat 4” tidak suka kepada Dato’ Halimah, maka YMb tidak melantik beliau?
Sebagai ahli parti saya faham benar betapa pentingnya Pergerakan Wanita UMNO dalam menjayakan program dan agenda parti. Saya terkilan, keikhlasan mereka YMb balas demikian rupa. Madu diberi, tuba yang di balas.
Kepada Wanita UMNO sedarlah, puan-puan sudah di anggap menopause dalam era politik UMNO oleh Presiden yang tidak ada hati perut ini. Barangkali Presiden yang Puan-Puan sokong ini sudah nyanyok. Atas nasihat “tingkat 4”, Presiden yang puan-puan sokong ini, sedang mengatur dan mencatur untuk meletakkan Dato’ Azalina Othman Said sebagai Ketua Wanita UMNO yang baru. Dalam kamus perjuangan, saya akui Azalina memang hebat dari puan-puan, beliau berjuang seratus peratus sepanjang masa 24 jam sehari, sehingga tidak pernah terfikir untuk berkahwin. Bukan macam puan-puan, ada anak dan ada suami. Tahniah buat Pergerakan Wanita UMNO Malaysia kerana bakal mendapat Azalina sebagai Ketua Wanita yang baru.
Saya amat hairan dengan perlantikan Dato’ Seri Shahrizat sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf Menteri dalam hal Pembangunan Wanita Dan Keluarga, walhal pada masa yang sama sudah ada Menteri yang bertanggunjawab. Pada saya perlantikan ini merupakan satu penghinaan buat Dato’ Seri Shahrizat dan persendaan buat Wanita UMNO selurohnya.
Kepada Dato’ Seri Shahrizat saya cadangkan tolak saja perlantikan ini. Tunjukkan solidariti dan semangat setia kawan kepada Wanita UMNO. Buktikan bahawa Dato’ Seri sanggup bersama Wanita UMNO di waktu susah dan di waktu senang.
Kepada sahabat saya Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo, syabas saya ucapkan kerana menjadi lelaki sejati yang bertanggungjawab, bermaruah dan punya harga diri dengan meletakkan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional Selangor. Bukan macam Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang yang masih tidak tahu malu dan mahu terus menongkat langit.
Kepada YB Dato Anifah Aman dan YBM Tengku Azlan, sekalung tahniah buat kalian berdua kerana mencipta sejarah di tanah air kita apabila menolak jawatan Timbalan Menteri yang diberikan. Seingat saya inilah kali pertama dalam sejarah perkara seumpama ini berlaku. Kalaulah saya Perdana Menteri, sudah tentu saya akan turut meletakkan jawatan sama kerana malu dengan penolakan ini. Walau apa pun alasan, yang pentingnya kalian berdua terselamat dari berketuakan si Murakbalin ini.
Menyentuh mengenai perlantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu, saya kesal kerana YMb gagal berfungsi sebagai Ketua Parti. Sepatutnya YMb sendiri merafak sembah Ke Bawah DYMM Raja Perlis dan DYMM Sultan Terengganu. Baginda adalah Raja kita bukannya musoh kita. Kalau dengan Tuanku pun YMb gagal menyelesaikan soal perlantikan Menteri Besar dengan teratur dan sempurna, bagaimana dengan hal yang lebih rumit dan besar? Sebab itu YMb kena berambus dengan segera.
Baru-baru ini, saya mendapat khabar bahawa salah satu dari sayap parti yang paling junior telah membuat satu ketetapan di dalam mesyuarat Exconya mendesak YMb berundur meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Konon katanya, keputusan mereka telah “di black outkan” oleh semua media atas arahan pejabat YMb. Betul ke?
Pada kesempatan ini saya ingin menegur YMb mengenai angka 13. Umum mengetahui angka ini merupakan angka kegemaran YMb. Tidak ada salahnya dengan angka ini. Tetapi ada orang memberitahu saya, bahawa angka ini diberikan oleh seorang tukang tilik kepada YMb. Betul ke?
Kalaulah betul angka 13 ini diberikan oleh tukang tilik dan YMb mempercayainya, saya amat kesal. Kepercayaan kepada sesuatu angka itu boleh mendatangkan tuah adalah di larang sama sekali di dalam Islam dan hukumnya syirik. Sebagai cucu kepada seorang ulama Falak dan pemimpin agung Islam Hadhari, saya berharap YMb tidak terpedaya dengan kepercayaan karut seperti ini.
Tetapi barang di ingat, kerana angka ini, segala tindak tanduk YMb sudah boleh di hidu dan di baca. Sebab itu tarikh pembubaran parlimen pada 13 Feb tidak ada kejutan, hampir semua rakyat telah mengetahuinya terlebih dahulu. Cuma saya ingin menasihatkan YMb, kalau sudah terlalu seronok dengan angka 13 ini, tolong letakkan jawatan pada 13 May 2008 ini. Barulah angka ini akan membawa seribu kenangan kepada YMb secara peribadi.
HASRAT YBM TENGKU RAZALEIGH HAMZAH UNTUK MERAWAT UMNO – BERTANDING JAWATAN PRESIDEN
Dalam mengulas hasrat YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk merawat UMNO yang sedang sakit dengan menawarkan kesediaannya bertanding jawatan Presiden UMNO, saya kira ini satu perkembangan yang amat menarik.
YMb kena akui, rakyat sudah benci dengan YMb dan menantu. YMb dan menantu bukan lagi aset kepada UMNO dan Barisan Nasional, tetapi sudah menjadi biawak hidup atau laibiliti di dalam UMNO dan Barisan Nasional.
Sungguhpun begitu, saya faham YMb dari jenis muka tembok memang cukup sayangkan jawatan ini demi anak menantu dan keluarga. Kalau sudah terlalu sayangkan jawatan, buatlah sesuatu. Justeru, ikutlah nasihat saya ini. Nasihat ini kalau di ikut, pasti YBM Tengku Razaleigh tidak akan dapat satu pun pencalonan untuk jawatan Presiden. Bukan niat saya mahu mendabik dada pulak tetapi idea ini memang first class. Budak-budak “Tingkat 4” sendiri pun tidak pernah terfikir mengenai idea ini.
Apa yang perlu YMb buat, ialah:
1 ) Panggil seorang demi seorang Ketua Bahagian. Kemudian, minta mereka menandatangani akujanji bahawa mereka akan menyokong YMb sampai mampus sebagaimana yang di lakukan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini. Selepas itu, pastikan juga mereka mendapatkan tandatangan semua AJK Bahagian dan semua Ketua-Ketua Cawangan bahawa mereka juga menyokong kepimpinan YMb sampai mampus juga.
2 ) Selepas selesai tandatangan, surohlah mereka buat kenyataan akhbar dan kutuk Tengku Razaleigh habis-habisan. Semua media mesti menyiarkan acara ini sebagai berita utama.
3 ) Kemudian, YMb sendiri turun ke negeri-negeri, arah negeri-negeri mengadakan sambutan besar-besaran dengan sepanduk dan kain rentang yang tertulis kata-kata menyokong, memuja dan memuji YMb. Kalau dulu kita sediakan bas dan elaun RM 10 kepada rakyat untuk datang menyambut pemimpin, tetapi kali ini elaun mesti di naikkan kepada RM 100, barulah mereka boleh menjerit dengan penuh semangat dan kuat menyokong YMb sebagaimana yang di buat di Seri Perdana baru-baru ini.
4 ) Dalam masa yang sama, media hendaklah berperanan menyiarkan berita lawatan YMb ini. Kalau yang hadir 3,000 orang, ia mesti di tulis 30,000 orang, baru nampak grand.
5 ) Media juga mesti “black outkan” kenyataan Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh dan sesiapa juga yang sinis terhadap YMb. Kenyataan-kenyataan mereka yang menyokong YMb pula, wajib hukumnya di perbesar-besarkan.
6 ) Media juga mesti memainkan isu perpecahan UMNO akibat pertandingan 1987. Jangan pulak media terlajak menulis bahawa YMb juga terlibat melawan Presiden UMNO pada tahun 1987. Tumpukan hanya membelasah Tengku Razaleigh sahaja.
7 ) Lupa nak pesan, Ketua-Ketua Bahagian yang di panggil di peringkat awal tadi, jangan lupa hulur sikit atau janjikanlah apa-apa peruntukan. Penting tu. Kalau perlu pujuk, YMb pujuk. Kalau perlu ugut, YMb ugutlah mereka. Dalam masa yang sama aturlah langkah SUPAYA TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN DI CALONKAN MELAWAN DATO’ SRI NAJIB UNTUK KERUSI TIMBALAN PRESIDEN. Saya rasa Tan Sri Muhyiddin juga dah lama mengidamkan jawatan itu. Jangan lupa, kepada mereka yang di gugurkan dari kabinet, janjikanlah kedudukan lain yang istimewa supaya mereka juga akan bekerja keras menyokong YMb dan turut sama membelasah Tengku Razaleigh. Kepada Tan Sri Muhyiddin belajarlah serta-merta memberikan senyuman manis kerana kadang-kadang saya melihat mukanya masam seolah-olah ada tahi kucing di hidungnya.
8 ) Kemudian, panggil mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan buat ketetapan hanya jawatan Presiden sahaja tidak boleh di tandingi. Manakala jawatan Timbalan Presiden ke bawah BOLEH di tandingi. Mana-mana bahagian yang mencalonkan orang lain selain YMb, arahkan Setiausaha Agung cari kesalahan teknikal dan gantung terus bahagian itu. Pastikan juga pemilihan UMNO di semua peringkat di tangguhkan ke tahun 2009. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan biar Tengku Razaleigh letih.
9 ) Kemudian, atur orang untuk lapur kepada Jawatankuasa Disiplin bahawa Tengku Razaleigh dan penyokong-penyokongnya menggunakan wang. Jawatankuasa Disiplin pula jangan tunggu lama-lama, pecat sahaja mereka ini. Kalau ada laporan politik wang yang melibatkan penyokong-penyokong YMb, Jawatankuasa Disiplin jangan pecat, memadai dengan amaran sahaja.
10) Dalam masa yang sama Pengerusi-Pengerusi Perhubungan wajib memainkan peranan memastikan Tengku Razaleigh tidak mendapat satu pun pencalonan.
11) Pastikan panglima-panglima YMb yang handal-handal yang sangat di sayangi dan di hormati oleh ahli UMNO seperti Reezal Marican, Dato’ Othman Desa, Menantu YMb, budak-budak tingkat 4, Kalimullah dan Patrick Badawi turun berkempen di bahagian-bahagian.
12) Jangan lupa peralatkan badan-badan NGO seperti GPMS, Gerakan Belia 4B dan Majlis Belia Malaysia (MBM) membuat kenyataan menyokong YMb dan arahkan mereka membelasah Tengku Razaleigh dengan teruk. Selain NGO, YMb juga boleh memperalatkan sesiapa juga yang sedang lapar mencari peluang perniagaan untu berbuat perkara yang sama.
13) Gunakan juga pemimpin-pemimpin parti kompenan Barisan Nasional menyuarakan ketetapan berdiri teguh di belakang YMb. Kalau boleh, gunakan juga agensi dan jentera kerajaan untuk menabur fitnah dan menyebarkan propaganda bahawa negara akan hancur punah ranah kalau Tengku Razaleigh menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.
Saya yakin, dengan menggunakan taktik-taktik ini, YMb akan terus mengekalkan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia sampai bila-bila dan hajat budak-budak “tingkat 4” untuk melihat Tan Sri Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri akan tercapai jua akhirnya sebelum UMNO dan Barisan Nasional di kebumikan pada pilihan raya umum yang akan datang.
Kerana tidak mahu UMNO dan Barisan Nasional di kebumikan maka surat ini saya tulis dengan titisan air mata dan dengan penuh emosi. Air mata saya menitis kerana sayangkan agama kita Islam, Bangsa dan negara – apa akan jadi kepada Islam? Apa akan jadi kepada UMNO? Saya beremosi kerana saya yakin dan percaya YMb lah punca UMNO dan Barisan Nasional jadi begini.
Selama 4 tahun saya dan teman-teman telah berusaha menyampaikan cadangan dan pandangan demi Islam tercinta, bangsa dan negara, dengan bahasa yang berlemah lembut kepada YMb melalui pegawai-pegawai dan mereka yang rapat dengan YMb, namun cadangan dan pandangan kami dengan bahasa yang berlemah lembut, di sambut sinis dan terkadang kala kami di anggap sebagai musoh.
Sebab itu jangan salahkan saya jika bahasa yang kesat dan keras saya gunakan di dalam surat ini kerana saya sudah jemu untuk berkias dan berlemah lembut dengan gulungan yang sombong dan bongkak seperti YMb dan orang yang berada di keliling YMb.
Ada rakan-rakan menganjurkan kepada saya “mari bersatu bersama Pak Lah” – jawapan saya, “apa guna bersatu bersama Pak Lah kalau dengan bersatu itu UMNO akan runtuh – ada lebih baik tumbangkan sahaja Dollah Badawi demi menyelamatkan Islam, UMNO, bangsa dan negara”.
Terus terang saya katakan YMb tak ubah umpama bisul di lengan, kita tidak akan potong dan buang seluruh lengan, apa yang kita buat ialah kita pecahkan bisul, keluarkan nanah, bisul baik, lengan pun selamat.
Ada kawan-kawan yang mengingatkan saya kemungkinan di tahan ISA dan di pecat dari UMNO kerana surat ini. Saya jawab kepada mereka kalau inilah harga yang perlu saya bayar untuk memartabatkan Islam, UMNO, bangsa dan negara, insyaAllah saya redha.
Tapi ingat baik-baik, saya bukan mengancam keselamatan negara dan UMNO bukan milik mak bapak diaorang dan bukan milik mak bapak saya. UMNO adalah milik kita bersama.
Ini bukan surat terbuka saya yang pertama kepada seorang Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Dahulu, saya pernah beberapa kali mengutus surat terbuka kepada YABhg Tun Dr Mahathir sewaktu beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, menegur dan mengkritik beliau dengan nada dan bahasa seperti ini – semuanya kerana sayangkan Islam, UMNO, bangsa dan negara.
Prinsip saya mudah, kamu buatlah apa pun. Tetapi apabila Islam, UMNO, bangsa dan negara tergugat seperti sekarang ini, saya akan bangkit menyatakan kebenaran. “berkata benar walaupun pahit”. Saya sayangkan negara saya. Saya bukan barua Singapura dan menjadi ejen asing.
Sesungguhnya, tidak ada cara lain untuk kita menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional dari terus pupus dan tidak releven di muka bumi Malaysia ini melainkan kita menuntut Abdullah Bin Ahmad Badawi berundur dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Berambusnya si Murakbalin ini bermakna berambus jugalah menantu kesayangannya dari arena politik Malaysia.
Sebelum saya mengakhiri surat ini, saya ulangi cabaran saya supaya kamu, ABDULLAH BIN AHMAD BADAWI bertanggungjawab penuh dengan meletakkan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia atas kekalahan Barisan Nasional di lima negeri dan di Wilayah Persekutuan serta kehilangan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Atas nama maruah, kehormatan dan harga diri, saya MUHAMMAD ZAHID BIN MD ARIP, ahli UMNO dan warganegara Malaysia mencabar kamu berbuat demikian.
Mudah-mudahan Allah mengurniakan taufiq dan hidayah untuk kamu segera berundur.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
MUHAMMAD ZAHID BIN MD ARIP
1 comment:
golden goose sale
nike air max 97
nike air max 95
irving shoes
christian louboutin shoes
timberland shoes
louboutin shoes
balenciaga
nike react
nike shoes
Post a Comment